Friday, November 25, 2011

akibat mungkir janji


Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsirnya Jami’ al-Bayan berkata: “Ayat ini dan ayat-ayat selepasnya menyebut daripada apa yang Allah bilangkan dan kira kelebihan serta kurniaan terhadap Bani Israel, yang mana mereka ketika bersama orang-orang Ansar pada zaman Nabi s.a.w, di mana mereka disebut pada awal surah ini sikap pembohongan dan mungkir janji nenek moyang mereka terhadap perjanjian Allah yang mereka sendiri menetapkan tali perjanjian tersebut.”
Justeru, Allah s.w.t telah membri peringatan kepada mereka dengannya supaya jangan jadi seperti nenek moyang mereka dengan mengekali kekufuran di samping mengambil sikap menentang kenabian Muhammad s.a.w dan mengingkarinya. Begitu juga mereka meninggalkan untuk mengikut Nabi s.a.w, apatah lagi membenarkannya dengan apa yang dibawa kepada mereka daripada Tuhannya. Justeru, layaklah nenek moyang mereka yang terdahulu dikenakan balasan dan berhak mendapat kemurkaan Allah.
Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: Sekali lagi al-Quran menghadapi mereka dengan menyebut gejala-gejala kemungkiran janji, kejatuhan akhlak, kecuaian dan kelemahan mereka mematuhi perjanjian Allah dan melaksanakan tugas-tugasnya, juga kelemahan mereka di hadapan godaan nafsu dan tarikan mendapat faedah jangka pendek.
AYAT 65 & 66
Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu, lalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina.”
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa.
Firman Allah Taala Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui (bagaimana buruknya akibat) orang-orang di antara kamu yang melanggar (larangan) pada hari Sabtu. Ibn al-Jauzi berkata: Sabtu merupakan hari yang makruf. Inilah yang dikatakan oleh Ibn al-Anbari. Dan makna Sabtu mengikut bahasa Arab ialah putus. Dan dinamakan Sabtu itu Sabtu kerana Allah Azza Wajalla memulakan makhluk padanya dan memutuskan padanya sebahagian kejadian bumi. Atau kerana Allah memerintahkan Bani Israel supaya meninggalkan pekerjaan dan berhenti pada hari Sabtu semata-mata untuk beribadat.
Sebahagian mereka pula berkata: Dinamakan Sabtu kerana Allah perintahkan mereka supaya beristirehat padanya daripada amalan. Ini adalah pendapat yang salah kerana tidak dikenali dalam bahasa Arab, Sabtu dengan makna rehat.
Tentang sifat pelanggaran mereka pada hari Sabtu terdapat 2 pendapat:
  1. Bahawa mereka telah menangkap ikan pada hari Sabtu. Inilah yang dikatakan oleh al-Hasan dan Muqatil.
  2. Bahawa mereka memasang pukat pada hari Sabtu, sedangkan mengambilnya pada hari Ahad. Antaranya seperti menggali lubang sehingga menjadikan air masuk. Apabila hari Sabtu dibuka lubang, kemudian selepas itu diambil atau dipungutnya pada hari Ahad. Inilah pendapat al-Suddi.
Iaitu kamu mengetahui apa yang telah Kami lakukan terhadap golongan yang menderhakai arahan Kami sehingga sanggup menangkap ikan pada hari Sabtu yang telah Kami larang daripada demikian itulalu Kami berfirman kepada mereka: “Jadilah kamu kera yang hina.” Iaitu Kami tukarkan mereka seperti kera selepas mereka sebagai manusia beserta dengan kehinaan.
Ibn Jarir al-Tabari menaqalkan daripada al-Suddi: “Mereka ialah penduduk negeri Ailah, iaitu perkampungan yang menghadap ke laut yang berkerja sebagai nelayan. Di mana ikan-ikan pada hari Sabtu banyak muncul di permukaan air, sedangkan Allah mengharamkan kepada orang Yahudi untuk berkerja pada hari Sabtu sekalipun sebagai nelayan. Antara ujian Allah tersebut ialah ikan-ikan yang begitu jinak, bermain begitu banyak sekali di permukaan air. Sedangkan pada hari yang lain, seperti hari Ahad, ikan berada di dasar laut dan tidak muncul kecuali pada hari Sabtu sahaja. Akhirnya mereka membuat helah yang menyebabkan mereka layak dikenakan bala oleh Allah.
Uthman bin Ata’ telah meriwayatkan daripada ayahnya, katanya: Diseru mereka yang melampau pada hari Sabtu dengan tiga suara: Diseru: Hai ahli kampung atau negeri, lantas terjaga satu golongan. Kemudian diseru: Hai ahli kampung atau negeri, lantas terjaga atau sedar satu golongan yang lebih ramai daripada yang pertama. Kemudian diseru: Hai ahli kampung atau negeri, lantas semua lelaki, perempuan, kanak-kanak sedar.
Kemudian Allah berfirman kepada mereka, jadilah kamu kera-kera yang hina. Orang yang melarang mereka, yang melaksanakan amal makruf nahi munkar, bila masuk kepada mereka berkata: Hai si fulan, tidakkah kami melarang kamu? Mereka hanya mengisyaratkan dengan kepala mereka sebagai mengiakannya.
Qatadah berkata: Jadilah kaum tersebut kera-kera dan mempunyai ekor selepas mereka sebagai manusia lelaki dan perempuan. Riwayat Qatadah pula menyebut, pemuda-pemuda bertukar menjadi kera sedangkan orang-orang tua bertukar menjadi babi, dan tidaklah selamat pertukaran mereka kecuali hanya kepada mereka yang menegah dan melarangnya sahaja. Kata setengah ulama, adalah jumlah mereka seramai 70 ribu orang.
Dan riwayat Mujahid berkata: Yang ditukar hati-hati mereka, bukan badan mereka, sedangkan pendapat ini amat jauh dan menyimpang. Ibn Abbas berkata: Mereka tidak hidup di bumi kecuali tiga hari dan tidak hidup orang yang ditukar mereka di bumi lebih daripada 3 hari, ia tidak makan, minum dan beranak. Muqatil menyangka bahawa mereka hidup selama 7 hari dan mati pada hari yang ke lapan. Peristiwa ini berlaku pada zaman Nabi Allah Daud a.s.
Maka Kami jadikan apa yang berlaku itu sebagai suatu hukuman pencegah bagi orang-orang yang ada pada masa itu dan orang-orang yang datang kemudian, sebagai hukuman kepada golongan yang datang selepas mereka untuk dijadikan iktibar sekalipun mereka tidak melihatnya.
Syeikh al-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir berkata: “Dengan sebab mereka menceroboh kehormatan pada hari Sabtu dengan menangkap ikan, justeru Allah tukar mereka dengan rupa kera disebabkan maksiat mereka dan tidak hidup lebih daripada tiga hari, mereka tidak makan, minum dan berketurunan.”
Al-Mustaurid bin al-Ahnaf berkata: Ditanya kepada Abdullah bin Mas`ud: “Adakah kamu berpendapat kera-kera dan babi-babi daripada keturunan kera-kera dan babi-babi yang telah ditukar rupa bentuk mereka (Ashab al-Sabt).” Jawab Abdullah bin Mas`ud: “Sesungguhnya Allah tidak tukar satu-satu umat sehingga menjadikan mereka berketurunan tetapi kera-kera dan babi itu memang asal daripada baka tersebut.”
Penulis berpendapat kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa teori Darwin merupakan pembohongan apatah lagi pada zaman moden ini dengan ujian saintifik seperti DNA menunjukkan berlaku perbezaan yang amat ketara antara manusia dan kera.
Syed Qutub berkata: Mereka memang wajar menerima balasan kerana memungkiri perjanjian mereka dengan Allah, dan kerana menjatuhkan diri dari taraf manusia yang mempunyai iradat ke taraf alam haiwan yang tidak mempunyai iradat dan hidup terkongkong kepada nafsu perut sahaja. Mereka telah jatuh kembali ke alam haiwan apabila mereka meninggalkan ciri utama yang melayakkan manusia menjadi manusia, iaitu ciri iradat yang luhur yang berpegang teguh dengan perjanjian Allah. Tidak semestinya mereka berubah menjadi kera-kera dengan tubuh badan mereka, kerana mereka telahpun berubah menjadi kera-kera dengan jiwa dan fikiran mereka. Semuanya kesan-kesan perasaan dan fikiran itu menampakkan pada muka dan rupa seseorang ciri-ciri yang mengubahkan rupanya yang lahir dan memantulkan bayangannya yang mendalam. Peristiwa itu berlalu sebagai contoh teladan yang boleh mencegahkan penderhaka-penderhaka di zaman itu dan kemudiannya, juga menjadi pengajaran yang berguna kepada orang-orang yang beriman di setiap zaman.
Dan suatu pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa. Dan pengajaran serta peringatan bagi hamba yang soleh yang benar-benar bertaqwa kepada Allah Taala. Al-Imam al-Qusyairi berkata, mafhum atau maksud takwa cukup banyak ditakrifkan oleh ulama’. Antaranya:
  1. Al-Nasr Abazhi: Takwa ialah seseorang hamba memelihara selain daripada Allah.
  2. Thalq bin Habib: Takwa ialah amalan ketaatan kepada Allah di atas cahaya Allah.
  3. Abu Bakar al-Rauzabari: Takwa ialah menghindarkan daripada apa yang menjauhkanmu daripada Allah.
Al-Imam al-Samarqandi di dalam tafsirnya Bahr al-Ulum berkata: “Iaitu larangan kepada umat Muhammad s.a.w dan menjadi pengajaran untuk mereka supaya jangan sekali-kali menghalalkan apa yang diharamkan Allah ke atas mereka.”
Al-Imam al-Nasafi di dalam tafsirnya berkata: “Penukaran muka kepada kera sebagai satu pengajaran bagi siapa yang mengambil iktibar dengannya sama ada yang sebelum dan selepasnya daripada umat dan kurun yang lalu kerana penukaran mereka disebut di dalam kitab yang terdahulu. Justeru, hendaklah kamu mengambil iktibar dan pengajaran dengannya siapa yang menyampaikan kepada mereka daripada yang kemudian. Oleh itu, ia menjadi pengajaran bagi orang yang bertaqwa yang ditegah oleh mereka daripada melampau dan menyalahi hukum Tuhan daripada kalangan orang-orang salih atau setiap yang bertakwa mendengarnya.  Semoga Allah menjadikan kita dalam golongan orang-orang yang bertakwa. Amin.

No comments:

Post a Comment